Thursday 25 July 2013

5 Salah Faham Rakyat Malaysia

Salah faham berlaku apabila fakta mengenai sesuatu perkara, kejadian atau idea tidak difahami sepenuhnya oleh seseorang atau masyarakat. Kami, di Cakar Ayam telah menjelaskan banyak salah faham seperti isu kalimah Allahfitnah terhadap syiah dan salah faham masyarakat kristian mengenai Jesus. Pada hari ini penulis berasa terpanggil untuk menjelaskan beberapa salah faham yang banyak dipercayai rakyat malaysia.

1. Teori Darwin

Charles Darwin adalah naturalis berbangsa Inggeris yang memperkembangkan teori evolusi yang menyatakan bahawa setiap spesies tumbuhan dan haiwan dimuka bumi ini wujud melalui proses evolusi yang memakan masa berjuta juta tahun. Umat islam dan kristian di Malaysia kebanyakannya menolak teori ini kerana bagi mereka adalah tidak logik manusia berasal daripada beruk. Tetapi persoalannya, adakah Darwin benar benar menteorikan bahawa manusia berevolusi daripada beruk? Jika kita baca buku On the Origin of Species by Means of Natural Selection yang dikarang pada November 1859 serta buku buku Darwin yang lain, apa yang tertulis disitu adalah manusia dan chimpanzee berkongsi nenek moyang yang sama iaitu Australopithecus. Proses evolusi manusia menurut Darwin diterangkan melalui rajah dibawah :

Australopithecus → Homo Habilis → Homo Erectus → Homo Sapiens 

Tidak ada satu baris ayat pun didalam buku Darwin yang menteorikan manusia berasal daripada beruk, chimpanzee mahupun monyet. (Penulis tak kisah pun sebenarnya kalau anda semua tersalah mengenai perkara ini tapi sekurang kurangnya tolonglah jangan menyebarkan salah faham itu di ruangan komen page facebook yang turut dilawati pengguna daripada negara negara seperti Amerika, Norway, Denmark, Singapura dan sebagainya. Buku buku yang mereka baca setahun lebih banyak daripada kita rakyat Malaysia. Mereka boleh kesan kesalahan kita itu. Janganlah sesekali membuatkan creationist (golongan yang percaya Tuhan mencipta manusia lengkap sempurna daripada tanah) kelihatan bodoh dimata orang lain.)

2. Islam atau Sekular


Jika kita ikuti perbincangan politik antara penyokong umno dan penyokong pas, kita akan dapati bahawa salah satu isu yang diperdebatkan adalah sama ada Malaysia sebuah negara islam atau sekular. Sesetengah penyokong umno memetik kata kata bekas perdana menteri Tun Mahathir Muhamad pada September 2001 sebagai asas penghujahan mereka, ''Umno wishes to state clearly that Malaysia is an Islamic nation. This is based on the opinion of ulamaks who had clarified what constituted as Islamic country...''. Mereka juga memetik Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang menyebut Islam adalah agama bagi Persekutuan. Bagi penulis, hujah hujah mereka ini adalah tidak relevan untuk membuktikan Malaysia sebuah negara islam. Selaku seorang pelajar undang undang, penulis diajar dalam kuliah Malaysian Legal System (MLS) bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular. Didalam buku teks MLS pula dipetik ucapan Tunku Abdul Rahman pada Februari 1983 yang menyebut, ''The country has multi-racial population with various beliefs. Malaysia must continue as a secular state with Islam as the official religion.'' Kenyataan ini disokong oleh Tun Hussein, ''The nation can still be functional as a secular state with islam as the official religion.'' Walaupun Perkara 3 menyatakan Islam adalah agama bagi Persekutuan namun tidak dinyatakan secara jelas dalam mana mana perkara Perlembagaan bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam. Selain itu, jika benar Malaysia adalah sebuah negara islam mengapa undang undang Syariah tidak dilaksanakan secara sepenuhnya? Mengapa pesalah zina hanya didenda tidak melebihi RM5000, dipenjara tidak melebihi 3 tahun dan disebat tidak melebihi 6 kali sedangkan dinegara negara islam seperti Arab Saudi dan Iran, pesalah zina yang telah berkahwin direjam manakala yang belum berkahwin disebat 100 kali.

3. Menuju ke Bulan


Sama ada percaya atau tidak ada sesetengah rakyat Malaysia yang percaya Doktor Syeikh Muszaphar Syukor menaiki Soyuz TMA-11 pada 10 Oktober 2007 menuju ke bulan. Buat pengetahuan rakyat Malaysia yang percaya sedemikian, ingin penulis betulkan bahawa sebenarnya Dr. Syeikh Muszaphar Syukor pergi ke International Space Station (ISS) yang terletak kira kira 354 kilometer dari Bumi dengan kos RM105 juta (US$26 juta) seorang. Jika benar kerajaan Malaysia ingin menghantar angkasawan negara ke bulan maka kerajaan perlu membelanjakan sekitar US$100 juta hingga US$1.5 bilion (bergantung kepada sumber yang anda dapati dan juga sama ada program itu dilaksanakan sepenuhnya kerajaan Malaysia atau mendapat kerjasama Rusia atau Amerika). Salah satu faktor penyebab kepada kos yang tinggi ini adalah jarak bulan dari Bumi yang sangat jauh iaitu 384400 kilometer. Pada pandangan peribadi penulis, tidak mungkin kerajaan sanggup membazir ratusan juta ringgit menghantar angkasawan ke bulan sedangkan ramai lagi rakyat malaysia yang tidak cukup makan.

4. Hudud - Bunuh dan Rogol


Sesetengah rakan penulis menentang idea pelaksanaan hukum hudud di Malaysia dan sering mengkritik hukum hudud sebagai kejam dan tidak bertamadun. Walaupun penulis berasa terguris tetapi penulis sedar akan hakikat bahawa semua orang mempunyai cara fikir yang berbeza dan mereka mempunyai hak untuk bersuara. Namun apabila sesetengah daripada mereka mempunyai pengetahuan salah bahawa jenayah bunuh termasuk dalam hudud dan mengatakan ''an eye for an eye leave the whole world blind'' sebagai salah satu hujah menentang hudud penulis berasa terpanggil untuk membetulkan tanggapan ini. Untuk pengetahuan semua, hanya terdapat enam jenayah yang termasuk dalam Hudud iaitu mencuri, berzina, irabah, qazaf, minum arak dan murtad. Jenayah bunuh pula termasuk dalam Qisas. Selain itu, sesetengah kawan penulis turut bertanya tentang jenayah rogol dalam Syariah - adakah rogol sebahagian daripada zina dan termasuk dalam hudud, perlukah 4 orang saksi lelaki dalam kes rogol, adakah kesaksian orang bukan islam boleh digunapakai dan pelbagai lagi. Dalam isu rogol ini terdapat dua pendapat mengenainya. Menurut mazhab Hanafi (menggunakan kaedah dalalah an-nas) rogol dibandingkan dengan zina dengan sama sama mengandungi maksud melakukan persetubuhan haram. Namun dalam mazhab Shafie, rogol tidak disamakan dengan zina kerana zina dilakukan suka sama suka dan tidak wujud istilah mangsa sedangkan jenayah rogol dilakukan secara paksaan dan wujud mangsa yang tidak berdosa. Jenayah rogol jatuh dalam bidang kuasa takzir menurut mazhab Shafie. Dan memandangkan di Malaysia mazhab islam yang diamalkan adalah Shafie maka jika hudud dilaksana besar kemungkinan rogol dimasukkan dalam takzir. Ini antara lainnya bermaksud prosedur empat orang saksi lelaki yang adil tidak digunakan dan kenyataan saksi bukan islam boleh digunapakai dalam mahkamah.

5. Heart

Penulis tidak faham mengapa tapi ramai rakan rakan penulis yang apabila ditanya apakah maksud my heart menjawab hati saya sedangkan terjemahan yang sebenarnya adalah jantung saya. Begitu juga apabila ditunjukkan bantal kecil berbentuk love mereka mengatakan ia melambangkan hati sedangkan ianya lebih menyerupai jantung. Perkataan inggeris bagi hati adalah liver. Dan sama ada percaya atau tidak konflik bahasa hati-jantung ini turut berlaku dalam menterjemahkan perkataan Arab ke dalam bahasa Melayu lantas sekaligus mempengaruhi terjemahan sebuah hadis yang sangat popular yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim : ''Ketahuilah dalam badan manusia ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah seluruhnya, dan apabila ia rosak, rosaklah sekaliannya. Ketahuilah! Itulah dikatakan hati.'' Terjemahan Arab-Inggeris bagi hadis itu pula berbunyi, ''In the body there is a piece of flesh which, if it is sound, all of the body is sound, and which, if it is diseased, all of the body is diseased. This part of the body is the heart.'' Jujurnya, penulis tidak mahu mengatakan terjemahan hadis berbahasa melayu itu salah kerana penulis sendiri bukannya pandai bijak agama tetapi penulis mengharapkan para ustaz, tok imam dan pendakwah sekalian sentiasa jelas dalam membicarakan maksud hadis ini kerana ia boleh mempengaruhi pemahaman pendengar.

Fazrin Jamal

[Sila rujuk 9 Perkara Wajib Tahu Sebelum Menulis Komen di Cakar Ayam sebelum memberikan pandangan anda]



1 comment:

  1. Adakah Tuan menganggap teori evolusi boleh diterima akal?

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blogger templates