Wednesday 17 September 2014

5 Langkah Yang Perlu Diambil Mahkamah Syariah Untuk Membolehkan Poligami Kekal Relevan


Dua minggu lepas aku dan Adibah berbincang pasal poligami. Aku (yang sekular dan liberal ni) secara umumnya menyokong poligami kerana ianya dibenarkan dalam islam atas tujuan membela nasib wanita dan anak kecil. Adibah pula tidak menyokong poligami atas faktor tak sanggup berkongsi suami. Walaupun ada perbezaan disitu namun kami berdua sependapat yang sistem poligami yang dibenarkan Nabi Muhammad mempunyai kelemahan dalam pelaksanaannya. Pada pendapat aku kelemahan ini boleh ditangani jika kuasa undang undang yang lebih banyak diberikan kepada mahkamah syariah dan pihak berkuasa agama untuk memantau permohonan poligami dan pelaksanaannya.
Sebelum perkahwinan kedua berlangsung pihak mahkamah haruslah melihat kepada sosioekonomi si lelaki, isteri pertamanya dan anak anaknya. Jika si suami tak bekerja atau bergaji kecil bagaimana mampu dia menyediakan makanan, pakaian dan pendidikan kepada isteri dan anak dalam kedua dua keluarga? Nak membela nasib wanita dan anak anak tidak terjaga konon. Entah entah isteri pertama yang tanggung makan pakai dia.
Kedua, mahkamah perlu juga melihat kepada pendapatan dan latar belakang calon isteri kedua yang ingin dikahwini lelaki itu. Jika benar lelaki itu ingin berkahwin untuk membela nasib wanita, maka wanita itu mestilah janda bukannya anak dara. Janda itu pula mestilah termasuk dalam lingkungan definisi ''tidak terbela''. Jika wanita itu adalah janda anak seorang yang berpendapatan kira kira RM1200 sebulan maka dia tidak boleh dianggap sebagai wanita tidak terbela kerana gajinya cukup untuk menyara dirinya dan anaknya seorang. Tetapi jika wanita itu adalah janda anak lima yang berpendapatan kira kira RM1200 sebulan atau tidak bekerja atau bergantung kepada bantuan JKM maka golongan ini sangat sangatlah patut dikahwini lelaki diluar sana. Mereka ni memang jenis kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Kalau betul niat nak menolong pergi kahwin dengan janda berkedut bukannya anak dara montok.
Ketiga, poligami mestilah tidak dibenarkan sekiranya isteri pertama tidak memberikan keizinan. Kebanyakan negeri di Malaysia, jika tak silap aku, telahpun menetapkan syarat ini namun sesetengah negeri contohnya Perlis membenarkan lelaki berkahwin dua walaupun si isteri pertama tidak membenarkan. Ini tidak adil sebab sosioekonomi isteri dan anak keluarga pertama akan terkesan secara langsung atau tidak langsung akibat daripada perkahwinan ini.
Sekiranya semua syarat ini telah dipatuhi maka poligami bolehlah dibenarkan mahkamah. Namun, pemantauan haruslah dilakukan dari semasa ke semasa oleh pihak berkuasa agama. Contohnya, pihak berkuasa mestilah melakukan pemeriksaan berkala sekurang kurangnya 3 kali setahun di rumah isteri pertama dan isteri kedua. Disitu soal selidik perlulah dijalankan sama ada si suami bersikap adil kepada kedua dua isteri, memberikan nafkah zahir dan batin yang cukup dan sebagainya. Jiran jiran juga perlu ditanya jika keluarga poligami ini secara umumnya bahagia atau dipenuhi pertikaian atas sebab poligami itu sendiri.
Kelima, sekiranya bukti bukti kukuh menunjukkan bahawa si suami telah gagal bersikap adil terhadap kedua dua isteri atau mengabaikan anak dan isteri pertamanya atau tidak membela nasib janda dan anak anak tirinya maka mahkamah perlulah mengisytiharkan perkahwinan kedua itu tidak lagi sah. Jika si suami dan isteri kedua masih lagi hidup sebagai satu keluarga maka hukuman penjara dan denda setimpal haruslah dikenakan kepada kedua duanya. Aku tahu langkah kelima ini agak melampau kerana dalam islam, mahkamah tidak boleh membatalkan perkahwinan jika pembatalan itu tidak dituntut oleh isteri atau dilafazkan oleh suami tapi jika dibiarkan maka suami suami tak bertanggungjawab diluar sana akan terus menggatal beristeri ramai walaupun nafkah zahir sesen pun tak bagi.
P.S. Jika terdapat sebarang kesalahan fakta mohon dimaaf dan dibetulkan.
Fazrin Jamal

1 comment:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blogger templates